2# Pasar Seni dan sekitar jalan

Foto diatas : Landskap dari Stesen Putra LRT Pasar Seni.

Salam buat semua, untuk siri kedua Kamera,Kembara & Pena ini, lokasi yang dipilih adalah berbeza daripada yang sebelumnya. Memandangkan hari minggu kali ini juga adalah cuti umum yang panjang, Kamera,Kembara & Pena telah mengembara menyusuri jalan - jalan sekitar ibukota Kuala Lumpur. Memandangkan Kuala Lumpur mempunyai lokasi-lokasi menarik untuk dikongsi bersama, siri kali ini akan memaparkan beberapa tempat di sekitar Kuala Lumpur.Untuk merasai sendiri cerita di jalan-jalan sekitar Kuala Lumpur, pengembaraan kali ini adalah lebih kepada pengembaraan jalan kaki.

Perjalanan pada pagi Sabtu itu bermula pada jam 7.45 pagi lagi. Dari Shah alam aku menaiki KTM menuju ke KL Sentral. Kemudian lokasi pertama pada hari itu adalah seperti gambar diatas.Ya, Pasar Seni atau lebih dikenali sebagai Central Market ( CM). Aku memilih lokasi ini kerana banyak aktiviti-aktiviti yang menarik berlangsung disini sebenarnya. Kewujudan kumpulan Annexxe Gallery di sebelah Central Market ini juga menambahkan lagi kegiatan seni di sekitar Kuala Lumpur. Di Central Market ini terdapat banyak barangan seni. Para pelancong ramai yang bertandang ke sini. Bangunan ini telah dibuka pada tahun 1888.

Pemandangan dari tingkat 3 Anexxe Gallery, Central Market. Pertama kali aku ke Anexxe Gallery. Walaupun aku ada dapat banyak jemputan aktiviti di sini, namun tak pernah berkesempatan untuk pergi. Jadi hari ini, aku ke sini. Esok sambutan Tahun Baru Cina, aku lihat banyak persediaan telah dibuat oleh kaum Cina untuk merayakan sambutan itu. Pemandangan dari tingkat 3 Anexxe Gallery ini memang unik,kerana banyak bangunan yang klasik dan lama disekitar Central Market dapat dilihat.

Lif klasik di Annexe Gallery. Rasanya susah untuk jumpa lif sebegini sekarang. Yang terakhir aku pernah jumpa lif sebegini adalah di Hotel Majestic, Ipoh. Hotel bajet yang terletak di Stesen Keretapi Ipoh. Lif yang menggunakan pintu kayu, ala-ala pintu kapal laut.

Ketika aku sampai di Annexe Gallery, masih pagi lagi. Jadi memang belum dibuka pamerannya untuk orang ramai. Tapi tak mengapa, asalkan aku boleh lihat sendiri tempat kegiataan seni ini. Kepada mereka yang belum pernah ke sini, boleh lah datang memberikan sokongan kepada penggiat seni di Annexxe Gallery ini. Banyak aktiviti dan acara-acara yang sering dianjurkan. Antaranya Arts For Grabs, Hari Bintang Jatuh 3 Venus dan sebagainya.

Melukis di kaki lima Pasar Seni. Ketika aku mahu beredar dari Central Market ini, aku sempat mengambil foto ini.Seorang tua melukis pemandangan Kuala Lumpur. Bukan semua orang boleh melukis. Bakat yang ada ini digunakan untuk mencari rezeki dan pendapatan. Mungkin tak seberapa harganya,tapi bakat dan karya seseorang itu memang unik. Semoga mereka yang melukis di Pasar Seni ini akan terus melukis.Lukisan itu cara ekspresi mereka, kadangkala kita boleh faham dan kadangkala hanya mereka yang tahu apa maknanya.

Aku terus berjalan melewati Jalan Petaling, menuju ke Puduraya. Keadaan pagi itu memang agak sibuk.Ramai orang yang kesana ke mari. Di Jalan Petaling, ramai kaum Cina yang membeli belah. Esok juga sambutan Hari Valentine, patutlah kedai-kedai bunga disekitar Jalan Petaling itu menjual bunga-bunga segar. Aku terus berjalan lagi. Kemudian aku sampai ke kawasan ini. Masjid Jamek Kuala Lumpur. Pintu pagar utamanya ditutup ketika itu.Tak tahu kenapa, mungkin atas sebab-sebab tertentu.Dibuka pada tahun 1908. Sudah lebih seratus tahun masjid ini disini. Semoga tempat ini juga menjadi tarikan buat umat manusia yang beragama Islam untuk beribadah.

Bangunan klasik yang dibaik pulih. Aku tertarik dengan bangunan ini. Walaupun di tengah-tengah bandaraya.Masih ada bangunan klasik sebegini. Kadangkala bangunan klasik ini yang menambahkan ciri-ciri bandar yang membangun. Setiap yang klasik itu pasti ada cerita sendiri,sejarah sendiri..

Ya,setelah berjalan lebih kurang 30 minit, aku tiba disini. Dataran Merdeka. Sejujurnya, ini kali pertama aku sampai ke sini. Ketika aku tiba disini, matahari sudah mula memancar,tegak atas kepala. Aku cari kawasan yang agak redup sekeliling Dataran Merdeka itu. Aku duduk disitu,keluarkan buku nota tulisan dan pena. Mula menulis tentang perjalanan ini. Ketika aku melihat perkataan "MERDEKA " itu aku terfikir tentang maknanya. Berapa mengertinya aku dan juga yang lain tentang erti merdeka itu sendiri. Pemikiran dan perbuatan kita sekarang ini adakah sudah merdeka? Janganlah hanya tahu jerit sahaja perkataan merdeka, pemahaman dan pengertiannya kita sendiri lupakan.



Tiang Bendera Malaysia. Berkibar megah. Ramai pelancong datang ambil gambar disini. Aku pula duduk memerhati keadaan sekeliling. Didepan aku, padang rumput hijau Dataran Merdeka. Memang benar kata orang,warna hijau itu menyamankan pemandangan. Walaupun panas terik ketika itu,warna hijau merubah sedikit keadaan ditempat itu.

Beberapa orang pelancong datang ke Dataran Merdeka untuk mengambil foto kenangan mereka. Semoga mereka rasa Malaysia ini negara yang cantik dan indah.

Jam 12.45 tengahari. Memang agak panas ketika itu. Cuaca pada hari Sabtu itu bahangnya boleh tahan.
Selepas Dataran Merdeka, aku meneruskan perjalanan sahaja.Lokasi dan destinasi? Tak pasti,hanya jalan sahaja. Gambar diatas adalah lokasi kegemaran aku untuk mengambil foto sekarang ini. Jalan kecil diantara dua bangunan. Tiada apa yang menarik sangat sebenarnya,cuma aku minat sahaja :)

Setelah ke Pasar Seni dan Dataran Merdeka, aku tak tahu hendak kemana. Jadi teruskan perjalanan sahaja. Banyak tempat,bangunan yang tak pernah aku tahu aku jumpa sepanjang pengembaraan aku. Akhirnya aku tiba di satu jalan yang memang popular, Jalan Tuanku Abdul Rahman. Memang ramai orang disini. Ada yang membeli belah, jalan-jalan, dan macam-macam lagi.Aku lihat kiri dan kanan.Teruskan perjalanan. Ketika tiba disitu, aku memang tak tahu lagi hendak kemana. Jalan terus sahaja. Aku nampak papan tanda, Dang Wangi.Kemudian ternampak pula papan tanda Stesyen Putra LRT Dang Wangi. Aku terus kan perjalanan.Memang tak tahu jalan mana ikut gerak hati sahaja. Akhirnya jumpa! Aku beli tiket lrt menuju ke KLCC. Walaupun aku tahu,mungkin banyak kedai di KLCC akan tutup kerana sudah petang, dan esok sambutan Tahun Baru Cina. Aku beli sahaja tiket, gerak ke sana.


Aku masih belum solat Zohor ketika tiba di KLCC. Selalunya aku akan solat di surau Suria KLCC.Yang terletak dibahagian bawah itu.Kali ini aku rasa, baik aku teruskan pengembaraan aku ke Masjid As-Syakirin. Mungkin ada yang tak pernah tahu tentang kewujudan masjid ini. Masjid ini terletak di kawasan taman KLCC itu.Warna biru. Masjid ini memang mesra, kerana bahagian bawah masjid ini ada ruang kosong.Pengunjung dan sesiapa yang mahu bersolat dan mahu berehat boleh saja disini. Foto diatas adalah gambar seorang bayi yang baru sahaja tahu mengesot. Dia mengesot bebas di atas jubin lantai masjid itu.Ketika dia tersenyum, aku ambil kamera dan pegunkan saat itu. Bila kanak-kanak tersenyum, aku rasa gembira.Kerana dunia ini masih ada mereka yang tak tahu apa itu erti masalah.Kehadiran mereka ke dunia adalah untuk menceriakan suasana.

Sampai disini sahaja siri dua Kamera,Kembara & Pena. Terima kasih buat kalian yang sudi membaca dan memberikan sokongan terhadap siri ini. Semoga pengembaraan yang tak seberapa ini boleh memberikan sesuatu yang boleh dikongsi bersama. Terima Kasih sekali lagi untuk semua :) Nantikan edisi ketiga Kamera,Kembara & Pena
Read more

1# Bukit Bandaraya (cerita tentang sepi)


Sejak pagi lagi aku sudah bersiap untuk memulakan siri pertama untuk jurnal blog KAMERA,KEMBARA & PENA...cerita bermula ini. Lokasi kembara aku yang pertama adalah di kawasan tanah lapang dihujung bandar Shah Alam.Kawasan ini juga tak begitu ramai orang lagi.Maklumlah,tempat baru sahaja dibuka.Keadaan sekeliling tempat ini, satu tapak tanah lapang (walaupun ada kawasan pembinaan taman perumahan yang berhampiran) buatkan aku rasa, aku perlu ke sini untuk merasai sesuatu yang "diluar" daripada agenda klise sebuah bandar.



Jalan ke kawasan ini agak sunyi.Mungkin sebab masih lagi dipagi hari. Gambar diatas diambil sebaik sahaja aku keluar daripada kereta dan mengeluarkan perkakas-perkakas aku daripada kereta. Ada sebuah rumah banglo disitu.Tapi memang tidak berpenghuni rasanya, kerana tingkapnya semua ditutup dengan papan. Aku tengok dari jauh saja. Takut nanti dikata penceroboh kawasan rumah orang pula jika dekat.

Kawasan ini dipenuhi pasir, dan batu-batu sahaja.Tapi aku pilih lokasi ini kerana ia lapang dan tenang. Aku berjalan sedikit kedalam dari tempat yang aku sudah letakkan kereta tadi.

Menunggu siang. Ya aku menunggu waktu untuk matahari terbit.Sedikit-demi sedikit aku lihat cahaya matahari mula naik dan menyinar. Aku keluarkan kamera dan pegunkan keindahan alam yang diciptakan Tuhan ini. Memang lain benar rasanya bila kita berada seorang diri di tanah lapang. Pemikiran kita tenang sentiasa. Rasa macam kosong.Tapi damai sahaja.


Matahari yang baru hendak menyinar buatkan manusia dapat melihat sendiri pertukaran antara gelap dan kecerahan dunia ini.



Tanah lapang. Buatkan mata kita dapat melihat jauh,kerana semuanya rata tiada apa yang menghalang pemandangan kita.


Satu lagi projek daripada Askarya Concept & Graphics berkolaborasi dengan Militia Kata.



Aku sudah siap sedia. Kamera sudah ada, Kembara telah sampai dilokasi, Siri pertama KAMERA,KEMBARA,& PENA..cerita bermula

Lokasi : Kawasan Tanah lapang Bukit Bandaraya Shah Alam.

jam : 7.50

Ketika aku menulis ini, aku sedang berada dikawasan tanah lapang milik orang. Tapi aku pinjam sahaja kawasan mereka ini untuk aku menulis. Pada mulanya, aku rasa tempat ini yang paling sesuai untuk memulakan siri KAMERA,KEMBARA & PENA ini.Tenang, jauh dari keriuhan dan juga kenderaan. Mungkin tidaklah seaman mana,tapi sedikit berbeza daripada keadaan biasa.

Bila kita berada di kawasan yang sebegini, memang rasa tenteram. Kita boleh lupakan banyak perkara yang mengganggu fikiran kita.Sunyi dan senyap itu memang banyak ertinya. Yang ada hanya sekeliling yang kosong, cahaya matahari pagi dan ketenangan.

Kehidupan manusia yang seringkali berubah-ubah seperti roda yang berputar. Adakalanya, kita berada diatas, adakalanya kita dibawah.Bila kita rasa dunia itu indah, apa yang kita mahu semua kita dapat.Dan bila hidup itu semuanya serba tak kena bermakna kita berada dalam situasi yang berbeza.

Jadi di destinasi pertama ini, kawasan tanah lapang membuatkan aku ingin berkongsi tentang cerita manusia yang sepi. Menulis daripada pelbagai segi.Sepi tapi aman jiwanya, tenteram dengan ketenangan.

Seorang yang jiwanya sepi.Bukan sepi tidak berteman, tetapi sepi dengan semangat dan matlamat, adalah mereka yang rugi. Kehidupan yang telah dikurniakan oleh Tuhan ini perlulah dipenuhi dan dihargai dengan sebaiknya. Langit terbentang luas,begitu banyak perkara yang boleh kita lakukan. Tapi janganlah bermatlamatkan diri semata-mata.Kita hidup bukan seorang sahaja didunia.Kita buat sesuatu yang kebaikannya boleh dikongsi dengan semua.

Aku pilih tajuk sepi ini kerana aku hanya seorang diri ditanah kosong ini,tiada berpenghuni. Ada kawasan lapang dan barisan konkrit untuk buat parit rasanya (seperti gambar diatas)

Sampai disini dulu edisi pertama.sekian.
Read more

INTRODUKSI


KAMERA, KEMBARA & PENA..cerita bermula



Salam sejahtera diucapkan kepada semua yang meluangkan masa untuk menjenguk blog ini. Dan ini adalah satu lagi projek yang telah diusahakan oleh Askarya Graphic & Concepts. Konsep santai dalam pengembaraan ke mana-mana tempat yang "menarik" untuk dikongsikan dengan para pembaca.

KONSEP

Konsep blog KAMERA,KEMBARA & PENA ini adalah tentang pengembaraan atau pun jalan-jalan si penulis yang akan membawa kameranya untuk memegunkan cerita. dan membawa pena dan buku nota untuk menulis cerita. Dan setiap perjalanan itu akan diceritakan tentang apa-apa cerita yang ingin dikongsikan bersama. Cerita itu boleh jadi fantasi,rekaan, cerita benar ataupun apa jua cerita yang ingin dikongsikan oleh penulis. Jadi setiap perjalanan itu pasti akan ada cerita.Jadi ini adalah photo-journal blog :)

ISTIMEWA

Blog KAMERA,KEMBARA & PENA juga akan membawa para pembaca untuk mendalami sesi jalan-jalan secara santai.Tempat-tempat yang akan dikongsikan boleh jadi dimana sahaja. Mungkin di kedai makan, stesyen bas atau pun pasaraya membeli-belah.Tapi setiap destinasi ini pasti ada cerita tersendiri. Blog ini juga akan menampilkan beberapa rakan-rakan yang mempunyai keistimewaan sendiri.Lebih kurang macam sesi interview dengan mereka. Jadi nantikan episod-episod yang bakal dikemaskini setiap minggu :)

Semoga anda akan berasa santai bila membaca blog KAMERA,KEMBARA & PENA ini.

sekian.Terima Kasih atas sokongan :)

Krew KAMERA,KEMBARA & PENA
Read more
 

kamera.kembara & pena..cerita bermula Design by Insight © 2009